Monday 30 April 2012

Vegie Frankfurter

Menu sihat dan ringkas
Anakanda,

Suatu hari ketika membeli belah barangan dapur bersama ayahanda dan anakanda, ayahanda hulurkan sebungkus roti Frankfertur Gardenia. Mungkin kita boleh cuba, tutur ayahanda. Lalu bonda masukkan sepeket roti tersebut ke dalam troli. 

Begitulah Allah aturkan. Beberapa hari sebelumnya, bonda lihat Untie Sha MCM, kawan maya bonda menyediakan roti ala-ala subway. Namun bonda terfikir juga, bahan-bahannya belum cukup. Tapi Allah ilhamkan sesuatu untuk bonda, mengambil inspirasi dari Untie Sha.

Yang lebih manis, bonda dapat bekalkan kepada ayahanda untuk ke kelasnya. Alhamdulillah. 

Bahan-bahan
Roti Frankfurter
Mayonis
Capsicum kuning
Timun Jepun
Daun salad
Tomato ceri
Sosej - rebus dan potong kecil

Cara-cara
1. Sediakan salad vegie dulu - potong dadu capsicum, timun, tomato dan salad (hiris nipis-nipis ye)
2. Satukan dengan mayonis dan secubit garam (jika suka)
3. Masukkan sosej, gaul sebati
4. Kemudian ambik roti, belah tengah dan masukkan salad ke dalamnya.
4. Enak di makan bersama filet ikan dan sosej

Satukan bahan-bahan kemudian masukkan mayonis & sosej

Dah siap!
 Sayang,
Bonda




Thursday 26 April 2012

Tumis Kobis Bersama Udang



Anakanda,

Ingin bonda kongsikan sebuah cerita tentang anakanda. Sewaktu anakanda berusia kurang dari 2 tahun, anakanda sangat alergi dengan makanan lauk. Walaupun anakanda tidak memakan makanan lauk secara langsung tetapi kerana bonda menyusukan anakanda maka kesannya akan anakanda terima. Setiap kali bonda makan makanan lauk, badan anakanda akan berbintat-bintat. 

Masih bonda ingat, suatu hari tatkala menjemput anakanda di nursey, bonda hampir tidak mengenali anakanda kerana sewaktu bonda tinggalkan muka anakanda tiada sebarang cela. Tapi bila petang, seluruh muka anakanda penuh dengan bintil-bintil kecil. Pasti anakanda sakit dan gatal. Sementelah anakanda masih belum boleh bercakap. Maafkan bonda atas kelalaian bonda. Sejak hari itu, bonda tidak lagi menjamah makanan lauk sehinggalah anakanda bercerai susu. 

Kini, salah satu makanan kegemaran anakanda ialah udang. Pantang bonda masak udang, anakanda akan berulang alik ke dapur menanyakan sama ada sudah masak atau belum. Sungguh membahagiakan telatah anakanda. 
 
Tumis Kobis Bersama Udang
Resepi: Suri Hazel

Bahan-bahan
1        Kobis – dipotong kecil
2   Carrot – dipotong kecil / memanjang
3   Cili Hijau – dihiris memanjang
4   Bawang merah – dihiris kecil
4   Sedikit sos tiram 
4   Garam dan gula
5   Minyak untuk menumis

Cara Memasak
1   Panaskan minyak dan tumis bawang merah
2   Setelah agak garing, masukkan karrot dan udang. Gaul sebati
3   Perisakan dengan garam dan sos tiram. Boleh tambah sedikit air untuk kuah
4   Masukkan cili hijau dan kobis. Kaup balik sehingga sebati
5   Dah masak. Tutup api & hidang
Sayang,
Bonda

Salam Ukhuwah

Assalamualaikum...

Doa makan - credit to Google
 Blog ini adalah cetusan hati seorang ibu khusus untuk anak-anaknya. Namun penulis TIDAK menghadkan coretan-coretannya untuk dikongsi dan dimanfaatkan oleh khalayak maya.

Ia adalah catatan kehidupan seorang ibu yang membesarkan anak-anak dari perspektif masakan. Kerana makanan adalah pengikat kasih sayang seorang ibu selain doa, senjata yang amat ampuh. Sebagai muslim kita bukan sahaja dituntut mencari yang halal tetapi juga halalan toyyiban, halal lagi bersih. Justeru, kasih sayang seorang ibu bukan sahaja mampu dizahirkan dalam bentuk belaian, tutur kata, budi pekerti tetapi juga masakan. 

Semoga catatan & coretan yang tidak seberapa ini mampu menjadi naskah yang istimewa, khususnya untuk anak-anak penulis. 

Ya Allah, berkatilah usaha kecilku ini. Amin!