Monday 21 May 2012

Sambal Tumis Ikan Bawal


Anakanda,

Ikan bawal adalah ikan mewah bagi bonda dan keluarga suatu ketika dulu. Ikan ini lebih mahal dari ikan kembung, selar dan kerisi yang biasa dibeli oleh nenda. Seingat bonda, nenda suka memasak kari ikan bawal, mungkin kerana berkuah maka lebih ramai dapat merasa ikan ini. Sekali sekala dapat menjamah ikan ini amat terasa nikmatnya. Maklumlah, zaman kecil bonda penuh kepayahan.

Suatu malam bonda mencuba resepi kawan maya bonda, pemilik blog Bicara Kak Noor. Bonda olah sedikit sebanyak untuk disesuaikan dengan bahan-bahan yang ada. Bonda gunakan ikan bawal. Wah, berselera sekali bonda lihat anakanda makan bersama ayahanda. Bonda dapati anakanda memang lebih berselera sekiranya dihidangkan masakan berasaskan sumber lautan terutama ikan dan udang. Syukurlah sayang di atas rezeki yang diberikan-Nya.

RESEPI: Sambal Tumis Ikan

SUMBER: Bicara Kak Noor 

Bahan2nya
Beberapa keping kepala ikan dibersihkan digaul garam dan kunyit dan digoreng - bonda ganti dengan ikan bawal
3 sudu cili kisar * kak Noor memang stanbye cili kisar dalam esbok tak pernah putus hehe
5 batang serai *
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 inci kunyit hidup * yg serbuk pun ok ambil secubit lah
1 biji buah tomato *
sedikit sos tomato,garam,gula dan kicap manis sedikit


Cara masak
Mesinkan bahan2 bertanda * sehingga halus
Panaskan kuali masukan sedikit minyak dan tumislah bahan mesin sehingga wangi, kalau terlalu pekat masukan sedikit air dan masaklah sehingga cili betul2 masak,masukan sos tomato * utk gantikan asam jawa,garam,gula dan kicap manis,kalau suka berkuah tambah lah air,lepas tu masukan kepala ikan yang digoreng tadi,golek2an kejab dah boleh angkat lah

Sayang,
Bonda

Thursday 17 May 2012

Singgang Ikan Tongkol

Singgang Ikan Tongkol

Anakanda,

Semalam hati bonda amat tersentuh tatkala membaca sebuah coretan di blog Puan Roza. Tersentak dan tersentap seketika perasaan bonda. Sungguh, bonda sedang di tegur, oleh yang Maha Kuasa, melalui tulisan insan mulia ini, yang sudi berkongsi ceritanya untuk manfaat khalayak maya. 

Di awal kelahiran anakanda, bonda dan ayahanda agak kelam kabut menguruskan anakanda, maklumlah segala tumpuan diberikan kepada anakanda. Makan di luar menjadi rutin keluarga kita. Alhamdulillah, lama kelamaan bonda dan ayahanda semakin pandai menyesuaikan diri. Hanya sekali sekala kita menjamu selera di luar.  Ia bukan lagi rutin harian kita.

Benarlah kata orang, air tangan ibu itu pengikat kasih sayang sesebuah keluarga. Bonda sendiri merasainya sendiri. Bonda membesar bersama air tangan nenda - ubi rebus, pisang rebus, nasi goreng kelapa, ikan masin, ulam, sambal belacan, ikan goreng, ikan bakar, daging bakar, ayam goreng. Itu sahaja sayang, lauk yang ringkas dan sederhana, tapi kaya bukan sahaja dengan zatnya tapi lebih utama kaya dengan kasih sayang seorang ibu. Malah, sehingga dewasa, lauk pauk inilah yang bonda cari tatkala pulang ke kampung, lauk pauk air tangan nenda. 

Beberapa hari lalu, bonda menyediakan masakan singgang ikan tongkol. Masakan ringkas, yang bonda harap akan berbekas di hati anakanda suatu hari nanti. 


Resepi: Singgang Ikan Tongkol
Sumber: Suri Hazel

Bahan-bahan
Ikan tongkol
Bawang merah - di belah dua
Bawang putih - di ketuk
Lengkuas - di hiris
Asam keping
Cili padi
Air

Caranya:-
1. Satukan semua bahan kecuali ikan. Rebus di atas api hingga mendidih.
2. Masukkan ikan dan renehkan sehingga ikan masak
3. Perisakan dengan garam dan gula (jika suka)
4. Tutup api.


Sayang,
Bonda

Wednesday 16 May 2012

Ayam Masak Kicap


Anakanda,

Salah satu masakan kegemaran ayahanda ialah ayam masak kicap. Di awal perkahwinan, masakan bonda kurang menepati selera ayahanda. Namun bonda sentiasa berusaha untuk memperbaikinya, demi menambat hati ayahanda. 

 Suatu hari bonda menolong Tok Umi di dapur menggoreng puyuh. Setelah puyuh masak dan garing, Tok Umi menumiskan pula halia, bawang merah dan bawang putih ke dalam minyak yang sama. Kemudian di masukkan kicap. Maka, tahulah bonda begini rupanya masakan kicap kegemaran ayahanda. Sejak hari itu, bonda pun menukar cara masakan bonda terutamanya untuk resepi ini. Melihat ayahanda makan dengan berselera adalah satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Bahan-bahan
Ayam
Halia *
Bawang merah*
Bawang putih*
Bawang besar - di potong bulat
Kentang
Tomato
Cili merah - dihiris
Daun ketumbar / daun bawang untuk hiasan

Caranya:-
1. Ayam digaul bersama garam dan kunyit.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam. Biar hingga masak dan agak garing.
3. Angkat dan ketepikan ayam. 
4. Goreng pula kentang sehingga kekuningan. Angkat. 
5. Kurangkan sedikit minyak lebihan ayam tadi dan tumis bahan kisar (halia, bawang merah & bawang putih)
6. Tumis sehingga naik bau. Masukkan tomato, kentang dan cili merah. 
7. Masukkan kicap. Sekiranya inginkan lebih kuah, boleh ditambah air. 
8. Masukkan semula ayam. Kaup balikkan hingga sebati. 
9. Tutup api. Angkat dan hiasankan dengan hirisan daun ketumbar / daun bawang. 

Sayang,
Bonda

Monday 14 May 2012

Bubur Nasi

Bubur Nasi
Anakanda,

Teruja sungguh bonda setiap kali mengenang kisah membesarkan anakanda. Bila anakanda berusia setahun lebih anakanda amat menggemari bubur nasi. Saban hari ayahanda akan membeli bubur nasi untuk anakanda. Kebetulan pula ketika itu bulan Ramadhan. Bila hujung minggu ayahanda akan mengambil bubur nasi di surau yang disediakan oleh pihak surau. Berselera sungguh anakanda makan. Kebiasaanya anakanda akan makan sehingga licin sebekas plastik bubur tersebut. Hanya tinggal sayur, bawang goreng dan hirisan daun hiasan.

Ayahanda juga penggemar bubur nasi. Pernah sekali ayahanda menjemput teman sekolahnya, P. Lang Najmi untuk berbuka di rumah. Bila dihidang, dengan bangganya ayahanda berkata "makan, bini aku masak ni". Lantas di jawab oleh P.Lang Najmi, patutlah macam style kita (kami senegeri). 

Bonda belajar membuat bubur nasi dari Cik Akma, rakan sepejabat bonda. Kini sudah bergelar pendidik. Dari beliaulah bonda mendapat tunjuk ajar memasak bubur lambuk. 

Resepi: Bubur Nasi
Inspirasi: K Sha MCM
Sumber: Suri Hazel

Bahan-bahan
1 cawan beras (untuk hidangan 3-4 orang)
Air
Halia
Bawang merah
Bawang putih
Ikan bilis 
Kiub ikan bilis 
Daging
Udang
Sedikit lada hitam
Sedikit lada sulah
Garam
Cili merah dan daun ketumbar / daun sup / daun bawang untuk hiasan

Caranya
1. Bersihkan beras. Masukkan 4 cawan air - biar sehingga nasi menjadi lembik, perlu ditambah air sentiasa sehingga ia menjadi bubur (ia mengambil masa hampir 1 jam untuk menjadi bubur)
2. Masukkan halia, bawang merah, ikan bilis yang telah dikisar.
3. Perisakan dengan garam, lada dan kiub ikan bilis
4. Masukkan daging dan udang.
5. Siap untuk di makan

Sedap dimakan bersama telur dadar dan keropok goreng


Sunday 13 May 2012

Nasi Dagang




Anakanda,

Nampaknya bonda dan nenda berkongsi kesukaan yang sama, kami sama-sama menggemari Nasi Dagang.

Sewaktu berkunjung ke rumah Cik Ani semasa Aidil Fitri hari itu, bonda sangat teruja menjamah nasi dagang air tangan Cik Ani. Anakanda ingat lagi? Anakanda dan Ariff sibuk dengan i-Pad sementara bonda dan ayahanda bergilir-gilir menjaga dinda Nawfal dan menjamah hidangan lazat tersebut. Itu kali pertama bonda tahu bahawa nasi dagang Terengganu dan Kelantan berbeza. Selama ini bonda ingatkan semua nasi dagang adalah sama. 

Baru-baru ini bonda teringin memasak sendiri nasi dagang ini. Resipinya bonda ambil di SINI. Sementelah ada nenda, bonda tidak risau kerana nenda pasti akan memberi pertolongan sekiranya menghadapi kesukaran. Nenda sendiri tidak pernah memasak nasi dagang tetapi pengalaman hidup lebih setengah abad sudah pasti akan membantu. 

Bonda juga mendapat ilmu baru dari Cik Ani, sudah kebiasaan nasi dagang dihidangkan bersama telur rebus. Jadi, bonda tambahkan juga telur rebus sebagai penambah seri. Yang pasti, telur rebus itu menjadi rebutan anakanda dan dinda Nawfal.  

Alhamdulillah, berkat kesungguhan untuk mencuba, akhirnya nasi dagang bonda menjadi! Ingin bonda selitkan sedikit nasihat, setiap seribu langkah kejayaan hanya bermula dengan satu langkah kecil sayang. Sekiranya kita tidak berani memulakan langkah yang pertama itu, selama-lamanya kita tidak akan tahu potensi diri kita!

Kari Ikan Tonggol

Telur Rebus

Thursday 10 May 2012

Ayam Pop

Sedikit olahan dari resepi asal, pucuk ubi digantikan dengan timun, kobis & tomato serta tempe - hampir menyerupai resepi Nasi Ayam Penyet.
  
Anakanda,

Kebelakangan ini menu dari negara jiran sering menjadi pilihan masyarakat kita. Muncul pelbagai menu Ayam Penyet, Ayam Pop dsbnya. Sungguh, ianya memikat selera bonda. 

Resepi yang ingin bonda kongsi hari ini ialah resepi Ayam Pop, yang bonda dapat dari Untie Nurul (UN), rakan sebilik bonda di asrama dulu. Setelah berbelas tahun terpisah, bonda bertemu kembali dengan UN, di alam maya. Walaupun hanya menyapa di alam maya, keramahannya masih kekal. Sungguh jarak masa tidak pernah merenggangkan kami. Namun, kedewasaan menjadikan kami manusia yang matang, tiada lagi cerita-cerita zaman sekolah tetapi lebih kepada cerita kehidupan seorang wanita dewasa. Salah satu cara kami melahirkan keakraban adalah melalui resepi. 
 
Ingredients:

Ayam
3 bawang putih [tumbuk kasar]
1/2 bawang besar [tumbuk kasar]
2 sudu besar cuka [atau jus limau nipis]
1 serai [ketuk]
Garam
Air
* Kami tambah sedikit lengkuas ketuk.

Method:

1) Rebus ayam bersama bahan-bahan di atas  hingga masak. Lebih kurang 20-25 minit. Apabila masak, tos dan keringkan sebentar..

2) Goreng ayam sekejap sahaja. Kerana ayam memang sudah masak. Kita hanya inginkan tekstur rangup  dan sedikit warna keemasan di luar ayam.

Tips: Sewaktu menggoreng, ayam akan mengeluarkan bunyi pop! popp! --- mungkin sebab itu menu ini dipanggil ayam pop!

Set pelengkap ayam pop ialah pucuk ubi rebus di cecah bersama sambal cili kicap. Rebus pucuk ubi secukupnya.

Sambal Cili kicap

7 cili padi
2 bawang putih
1/2 cup sugar
1/2 cup kicap

Method: Blend all ingredients.

* Resipi di atas adalah resepi asal rakan penulis. 

Sayang,
Bonda

Tuesday 8 May 2012

Ayam Goreng Kunyit



 Anakanda,

Anakanda perlu tahu erti kesyukuran. Anakanda sungguh beruntung kerana dilahirkan dalam zaman yang serba moden, mudah dan senang. Walaupun hidup kita tidak mewah tetapi ayahanda dan bonda masih mampu menyediakan segala kemudahan untuk anakanda berdua dengan sempurna. Suatu hari nanti anakanda akan faham erti hidup, jika anakanda berada diatas, jenguklah ke bawah, ada orang yang lebih susah dari kita.  Jika anakanda berada di bawah, pandanglah keatas, ada orang lebih beruntung dari kita, bukan untuk tidak bersyukur tapi untuk mengelakkan diri dari perasaan riak. Itulah roda kehidupan sayang.

Bonda dahulu hanya mampu menjamah ayam sekali sekala. Mungkin hanya sekali dalam sebulan, itu pun ayam peliharaan nenda. Atau jika ada majlis kenduri, menu ayam sudah suatu yang mewah bagi bonda dan keluarga kita, jua jiran-jiran sekampung bonda. Hari ini anakanda boleh menjamah ayam setiap hari, bermula dengan sarapan hingga ke makan malam. Ayam bukan lagi makanan mewah. Syukurlah sayang.

Ingin bonda kongsikan menu ringkas yang sering bonda masak untuk anakanda sewaktu membesarkan anakanda. Semoga suatu hari nanti, jika anakanda berada di perantauan atau bonda tiada lagi, anakanda boleh berdikari untuk menyediakannya.

Menu: AYAM GORENG KUNYIT
Resepi: Suri Hazel aka Puan Hazel

Bahan - bahan:-
Ayam  - dipotong kecil anggaran semangkuk
Kunyit
Garam
Kacang panjang
Lobak merah
Jagung muda
Cili merah
Halia
Bawang besar - lagi sedap kalau guna bawang Holland (kuning)
Minyak

Caranya:-
1. Gaul ayam bersama garam.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga kekuningan (masak)
3. Angkat dan ketepikan.
4. Menggunakan minyak yang sama, masukkan bawang, cili & halia. Setelah agak layu dan wangi, masukkan sayuran (kacang panjang, jagung & lobak merah) yang telah di potong (Potong ikut kreativiti masing2 ye)
5. Masukkan sedikit garam dan kemudian masukkan ayam semula. Gaul sebati dan tutup api.
6. Siap.


Sayang,
Bonda 

Sunday 6 May 2012

Lala Tumis Daun Pudina

Campuran daun pudina memberikan rasa segar dan mengurangkan rasa hanyir lala
Anakanda,

Bonda mula mengenali Pn Roza Roslan (penulis buku Bukan Sekadar Resepi) melalui majalah Anis. Anakanda perasankan bonda dan ayahanda tidak pernah ketinggalan membeli Anis setiap bulan. Itulah juga harta berharga yang akan bonda tinggalkan untuk anakanda nanti. Bacalah, galilah sedalamnya ilmu yang terdapat di dalamnya. 


Suatu hari, bonda terjumpa suatu resepi istimewa dari Pn Roza iaitu teh daun pudina. Sejak hari itu bonda sering menghidangkan teh pudina untuk ayahanda. Rasa pudina sangat menyegarkan. Bonda fikir daun pudina ini mahal tapi tidak, serta mudah didapati di pasar tani dengan harga yang murah. Kerapkali bonda beli dan pernah juga bonda beli benihnya untuk ditanam. Tapi entah dimana silapnya, pokok itu tidak mahu hidup. 


Suatu hari bonda diberi ilham oleh-Nya untuk menggunakan daun pudina sebagai bahan masakan. Jadi, terhasillah menu kreatif ini untuk santapan kita sekeluarga.

LALA TUMIS DAUN PUDINA
Resepi: Suri Hazel aka Puan Hazel

Bahan-bahan
Lala
2-3 ulas bawang kecil - dimayang
2 btg serai - dihiris memanjang
4 tangkai daun pudina
2 biji cili merah - dihiris kecil
Garam

Cara-cara
1. Rebus lala sehingga masak. Angkat dan toskan
2. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan serai di dalam kuali.
3. Setelah kekuningan, masukkan lala. Gaul sebati
4. Masukkan cili merah dan daun pudina
5. Sesuaikan rasa
6. Siap. Jangan lupa tutup api ye...:)

Sayang,
Bonda

Chap Choy Ayam Ala Chinese


Chap choy malu mempamerkan diri, hanya menyorok di bawah timbunan ayan..:)
Anakanda,

Sayur pastinya bukan pilihan anakanda. Bonda tidak risau kerana anakanda masih kecil, belum mengenal khasiat sayur. Namun bonda berharap semakin anakanda membesar anakanda akan semakin faham kepentingan sayur untuk tumbesaran kita. Suatu hari bonda pasti anakanda akan menggemari sayur juga. 

Chap choy adalah sejenis sayur kegemaran bonda dan ayahanda. Kalau dulu bonda hanya tahu mencelur dan menumis bawang dan sos tiram lalu dicurah ke atas chap choy tadi. Tapi semakin lama, bonda menjadi semakin kreatif. Ilham diberi tatkala bonda menonton rancangan Rasa Halal Orient, kelolaan Kak Farah...:) Lalu lahirlah masakan yang tidak seberapa ini, tapi alhamdulillah menepati citarasa bonda & ayahanda. 

CHAP CHOY AYAM ALA CHINESE
Sumber: Suri Hazel aka Puan Hazel

Bahan-bahan
2 ikat Chap choy
Jagung muda - belah dua dan potong
Satu mangkuk ayam - dipotong kecil
1 biji telur
3 ulas bawang putih - diketuk
2 ulas bawang merah - dimayang
1/2 cm halia
Cili merah
2 sudu tepung jagung - di bancuh dengan secawan air
4 sudu sos tiram
1 sudu kecil gula
Garam

Cara-cara
1. Rendam chap choy yang telah di potong (sebatang chap choy di belah empat) dengan air garam selama +- 15 minit
2. Celur chap choy hingga lembut/layu. Toskan
3. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, halia dan bawang merah sehingga wangi.
4. Masukkan ayam. Gaul sebati dan biarkan ayam masak.
5. Masukkan sos tiram, gula dan garam.
6. Masukkan bancuhan tepung jagung.
7. Setelah mendidih, pecahkan telur dan kacau agar telur tidak berketul. Setelah telur agak masak, tutup api.
8. Susun chap choy di dalam piring dan siramkan kuah tadi ke atasnya.
9. Siap untuk dijamah!


Tuesday 1 May 2012

Pulut Mangga Bersos Santan



Anakanda,

Kali pertama bonda menjamah pulut mangga ialah ketika bonda masih di sekolah menengah. Ketika itu bonda dan beberapa orang kawan menumpang tidur di rumah sahabat bonda, Untie Nina di sebuah kampung di utara tanah air. Sungguh indah kampung itu, dikelilingi sawah padi anakanda. 

Sebelum bonda dan rakan-rakan keluar rumah untuk ke pekan AS, kami dijamu dengan pulut mangga oleh ibu Untie Nina. Bonda rasa agak teragak-agak untuk menjamahnya kerana tidak pernah melihat hidangan sebegitu rupa. Namun itu adalah makanan istimewa yang digemari masyarakat tempatan. Bonda hanya mampu menjamah sedikit sahaja kerana tidak lalu. Itulah kali pertama dan terakhir bonda menjamah pulut mangga.

Sehinggalah baru-baru ini bonda kepingin menjamah pulut mangga. Lalu, bonda cuba mencari resepi dan akhirnya bonda terjumpa resepi ini di majalah Rasa versi online. Namun, bonda tersilap kerana menyangka pulutnya hanya perlu ditanak seperti menyediakan pulut durian. Rupanya lebih sedap sekiranya pulut ini dikukus. Walaupun begitu, bonda merasa puas kerana mampu menyediakan sendiri hidangan ini. Anakanda pun nampaknya berselera walaupun hanya menjamah pulut. 

Pulut Mangga Bersos Santan
Sumber: Majalah Rasa

Bahan-bahan:
2 biji mangga masak - dihiris
1/2kg pulut

Sos Santan:
1 biji kelapa - diambil santan putihnya
50gm gula pasir - dimasak sehingga pekat untuk dijadikan sirap
1 sudu makan tepung ubi
Secubit garam

Cara memasak:
1. Basuh beras pulut bersih dan kukus di dalam Pengukus FABER hingga masak. Ketepikan. - bonda tanak
2. Masak santan bersama tepung ubi, gula dan juga sedikit garam. Kacau rata.
3. Letakkan pulut yang sudah masak di atas pinggan dan ratakan.
4. Hidangkan bersama sos santan dan juga hirisan mangga.
5. Sedia dinikmati.

Sayang,
Bonda