Singgang Ikan Tongkol |
Anakanda,
Semalam hati bonda amat tersentuh tatkala membaca sebuah coretan di blog Puan Roza. Tersentak dan tersentap seketika perasaan bonda. Sungguh, bonda sedang di tegur, oleh yang Maha Kuasa, melalui tulisan insan mulia ini, yang sudi berkongsi ceritanya untuk manfaat khalayak maya.
Di awal kelahiran anakanda, bonda dan ayahanda agak kelam kabut menguruskan anakanda, maklumlah segala tumpuan diberikan kepada anakanda. Makan di luar menjadi rutin keluarga kita. Alhamdulillah, lama kelamaan bonda dan ayahanda semakin pandai menyesuaikan diri. Hanya sekali sekala kita menjamu selera di luar. Ia bukan lagi rutin harian kita.
Benarlah kata orang, air tangan ibu itu pengikat kasih sayang sesebuah keluarga. Bonda sendiri merasainya sendiri. Bonda membesar bersama air tangan nenda - ubi rebus, pisang rebus, nasi goreng kelapa, ikan masin, ulam, sambal belacan, ikan goreng, ikan bakar, daging bakar, ayam goreng. Itu sahaja sayang, lauk yang ringkas dan sederhana, tapi kaya bukan sahaja dengan zatnya tapi lebih utama kaya dengan kasih sayang seorang ibu. Malah, sehingga dewasa, lauk pauk inilah yang bonda cari tatkala pulang ke kampung, lauk pauk air tangan nenda.
Beberapa hari lalu, bonda menyediakan masakan singgang ikan tongkol. Masakan ringkas, yang bonda harap akan berbekas di hati anakanda suatu hari nanti.
Resepi: Singgang Ikan Tongkol
Sumber: Suri Hazel
Bahan-bahan
Ikan tongkol
Bawang merah - di belah dua
Bawang putih - di ketuk
Lengkuas - di hiris
Asam keping
Cili padi
Air
Caranya:-
1. Satukan semua bahan kecuali ikan. Rebus di atas api hingga mendidih.
2. Masukkan ikan dan renehkan sehingga ikan masak
3. Perisakan dengan garam dan gula (jika suka)
4. Tutup api.
Sayang,
Bonda
No comments:
Post a Comment