Anakanda,
Nampaknya bonda dan nenda berkongsi kesukaan yang sama, kami sama-sama menggemari Nasi Dagang.
Sewaktu berkunjung ke rumah Cik Ani semasa Aidil Fitri hari itu, bonda
sangat teruja menjamah nasi dagang air tangan Cik Ani. Anakanda ingat
lagi? Anakanda dan Ariff sibuk dengan i-Pad sementara bonda dan ayahanda
bergilir-gilir menjaga dinda Nawfal dan menjamah hidangan lazat
tersebut. Itu kali pertama bonda tahu bahawa nasi dagang Terengganu dan
Kelantan berbeza. Selama ini bonda ingatkan semua nasi dagang adalah sama.
Baru-baru ini bonda teringin memasak sendiri nasi dagang ini. Resipinya bonda ambil di SINI. Sementelah ada nenda, bonda tidak risau kerana nenda pasti akan memberi pertolongan sekiranya menghadapi kesukaran. Nenda sendiri tidak pernah memasak nasi dagang tetapi pengalaman hidup lebih setengah abad sudah pasti akan membantu.
Bonda juga mendapat ilmu baru dari Cik Ani, sudah kebiasaan nasi dagang dihidangkan bersama telur rebus. Jadi, bonda tambahkan juga telur rebus sebagai penambah seri. Yang pasti, telur rebus itu menjadi rebutan anakanda dan dinda Nawfal.
Alhamdulillah, berkat kesungguhan untuk mencuba, akhirnya nasi dagang bonda menjadi! Ingin bonda selitkan sedikit nasihat, setiap seribu langkah kejayaan hanya bermula dengan satu langkah kecil sayang. Sekiranya kita tidak berani memulakan langkah yang pertama itu, selama-lamanya kita tidak akan tahu potensi diri kita!
Kari Ikan Tonggol |
Telur Rebus |
No comments:
Post a Comment