Thursday, 14 June 2012

Cekodok Durian Euro 2012

 

Anakanda,

Akhir-akhir ini anakanda sering menyebut ingin makan durian. Ini mengingatkan bonda dengan durian yang jadi rebutan kita bertiga sewaktu bonda mengandungkan dinda Nawfal. Bonda membeli sebiji durian sewaktu usia kandungan mencecah 7 bulan kerana bonda amat teringin menjamahnya. 

Alhamdulillah, isi durian itu amat sedap sekali, sehingga anakanda juga berjaya menghabiskan seulas besar. Tidak bonda sangka, ayahanda juga berminat dengan durian itu sedangkan amat jarang sekali ayahanda makan durian. Bonda ingat lagi, bonda berkeras tidak mahu memberi kepada ayahanda dan hanya membiarkan ayahanda merasa sedikit sahaja. Kesian ayahanda.. namun dek kerana mengidam, bonda terpaksa juga memenuhi impian 'perut'. Durian itu juga hanya mempunyai 3 ulas! 

 Semalam bonda menunaikan hajat anakanda dengan membeli beberapa biji durian. Namun tidak sampai seulas yang anakanda dan ayahanda jamah. Bonda pula mampu menghabiskan sebiji durian! Jangan terkejut sayang, bonda memang 'hantu durian'. Namun untuk menghabiskan keempat-empat biji durian tersebut bonda tidak mampu. Jadi untuk mengelakkan pembaziran bonda fikir untuk menjadikan tempoyak. Namun selepas semuanya dimasukkan ke dalam bekas, bonda teringin pula menjadikannya jemput-jemput durian. Maka tempoyak bertukar menjadi cekodok.

Maka bonda namakan ianya Cekodok Durian Euro 2012, sempena kejohanan EURO 2012...:) 

Menu: Cekodok Durian 
Sumber: Suri Hazel

Bahan-bahan
Durian  - di buang bijinya
Tepung gandum
Sedikit garam
Sedikit baking powder

Cara-cara
  1. Gaulkan kesemua bahan di atas
  2. Panaskan minyak
  3. Dengan menggunakan sudu atau tangan, jemput sedikit bahan dan masukkan ke dalam kuali - seperti membuat jemput-jemput biasa.
  4. Kaup balik sehingga masak dan angkat
  5. Enak di makan ketika panas, sambil menonton Euro 2012...:)
Salam sayang,
Bonda 

No comments:

Post a Comment