Masak Lemak Pucuk Ubi |
Anakanda,
Ingin bonda rakamkan di sini kisah hidup bonda sewaktu kecil agar dapat menjadi pengajaran dan renungan anakanda. Bonda dibesarkan di kampung yang rata-ratanya adalah penoreh getah. Ada juga yang bersawah padi.
Setibanya musim menanam semula pokok getah, maka pokok-pokok getah tua ini akan di tebang dan di tanam semula. Sementara menanti anak getah membesar, tanah yang sama juga akan di tanam dengan pelbagai jenis tanaman seperti tembikai, ubi kayu, ubi kemili, keledek, jagung, cili, serai dan sebagainya. Jadi, ini dapat menampung kehidupan sementara menunggu usia pokok getah boleh di toreh semula, di samping mengerjakan sawah.
Masih basah di ingatan bonda kenangan bermain sorok-sorok, masak-masak dan pondok-pondok di celah-celah pohon ubi kayu. Namun ketika itu pucuk ubi kayu tidak pernah menjadi kegemaran bonda, kalau ada pun hanya dijadikan ulam rebus, cicah bersama air garam yang digaul bersama ikan rebus.
Namun, berhijrah ke kota besar membuka mata bonda bahawa pucuk ubi bukan hanya untuk di buat ulam, tetapi boleh dimasak lemak. Lebih lagi, ia amat laku dan menjadi tarikan bagi sesebuah gerai/kedai makan. Rata-rata masyarakat bandar menggemari masakan ini. Penyediaannya amat mudah sekali.
Resepi: Masak Lemak Pucuk Ubi
Sumber: Suri Hazel
Bahan-bahan
Pucuk ubi - di celur dahulu untuk menghilangkan pahit
Santan pekat
Kunyit hidup
Cili padi
Bawang merah
Garam
Sedikit kelapa parut
Cara-cara:-
- Tumbuk kasar kunyit hidup, bawang merah dan cili padi
- Masukkan ke dalam periuk bersama santan dan pucuk ubi
- Didihkan dan sentiasa kacau agar santan tidak pecah
- Setelah mendidih dan pucuk ubi layu, masukkan kelapa parut untuk menjadikan kuah lebih pekat.
- Masukkan garam. Tutup api
No comments:
Post a Comment